fbpx
EALA

Sukan SEA: Filipina hantar bintang Grand Slam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANILA – Kelibat Alexandra Eala menjadi sandaran utama buat Filipina menamatkan saingan di kedudukan terbaik dalam acara tenis Sukan SEA 2025.

Selaku pemain di ranking ke-50 dunia, Eala akan memperkuatkan kontinjen Filipina bersama pemain veteran, Shaira Hope Rivera dan pendatang baharu, Tennielle Madis, Stefi Marithe Aludo serta Alexa Joy Milliam.

Perhatian pastinya akan tertumpu kepada Eala selepas muncul pemain Filipina pertama meraih kemenangan di peringkat Grand Slam ketika menewaskan pilihan ke 14 Terbuka Amerika Syarikat, Clara Tauson di pusingan pertama Terbuka Miami, Ogos lalu.

Ketika di Terbuka Perancis, Eala turut merekodkan keputusan luar biasa dengan menewaskan juara Grand Slam tiga kali, Jelena Ostapenko di pusingan kedua.

Dia kemudiannya menumbangkan juara bertahan Terbuka Australia, Madison Keys di pusingan ketiga sebelum menunjukkan jalan keluar buat juara Grand Slam tiga kali yang kini di ranking kedua dunia, Iga Swiatek di suku akhir.

Harapannya untuk melangkah ke perlawanan akhir di Miami tidak kesampaian apabila tewas kepada Jessica Pegula dalam pertarungan separuh akhir ketika itu.

Jurulatih skuad tenis Filipina, Denise Dy merasakan kehadiran pemain hebat seperti Eala akan meningkatkan lagi peluang negara itu untuk memastikan kejayaan di pentas Sukan SEA kali ini.

“Untuk memiliki pemain berkaliber sepertinya adalah sesuatu mengujakan. Dia adalah pencabar utama bagi merebut pingat emas dan menjadikan pasukan kami kekal kompetitif,” katanya.

Bagi kategori lelaki, Filipina yang dilatih oleh bekas tonggak Piala Davis, Joseph Lizardo akan mempertaruhkan penyandang juara acara beregu, Ruben Gonzales dan Francis Casey Alcantara, Jed Olivarez dan Alberto Lim Jr. serta muka baharu, Arthur Craig Pantino. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN