PASUKAN boling negara membawa tonik berharga selepas aksi cemerlang di Kejuaraan Dunia kelmarin, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk memburu sekurang-kurangnya dua pingat emas pada aksi Sukan SEA Thailand, minggu depan.
Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, kejayaan di pentas dunia itu memperlihatkan tahap intensiti dan fokus tinggi pemain, malah menjadi petanda kukuh skuad negara berada pada landasan tepat untuk mencabar pingat dalam semua enam acara yang dipertandingkan.
“Corak di Sukan SEA nanti mungkin berbeza, tetapi dengan pengalaman mereka, kami berada dalam keadaan baik. Di Kejuaraan Dunia, kami diuji dengan kondisi yang sangat sukar, tetapi dapat lihat sendiri bagaimana pemain kekal fokus dan bekerja keras,” katanya.
Menurut beliau, empat pemain iaitu Rafiq Ismail, Mohd Syazirol Shamsudin, Sin Li Jane dan Natasha Roslan akan kembali menjalani latihan bermula Isnin dengan hanya enam hari untuk menyesuaikan diri dengan format temasya.
Mengulas sasaran di Sukan SEA, Maradona menegaskan MTBC menetapkan matlamat memenangi pingat dalam kesemua enam acara, selain menyatakan keyakinan tinggi terhadap peluang meraih sekurang-kurangnya dua emas berdasarkan prestasi semasa.
“Kami sasarkan pingat dalam semua acara, apa-apa warna, tetapi untuk emas, kami yakin ada dua yang kukuh. Kami hanya ada masa yang singkat, tetapi pengalaman mereka sangat besar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA), kelmarin.
Bagaimanapun, beliau mengakui persaingan dijangka sengit, terutama daripada Singapura yang muncul juara dunia, diikuti Filipina yang semakin meningkat dan Indonesia yang kembali dengan barisan berpengalaman.
Format baharu yang menyaksikan suku akhir diputuskan dalam satu permainan turut menambah elemen ‘nasib’, namun Maradona percaya kekuatan mental pemain negara memberi kelebihan. – KOSMO! ONLINE














