PETALING JAYA – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didalangi ‘Mat Sero’ tumpas selepas Jabatan Imigresen (JIM) melancarkan operasi khas di Kota Bharu, Kelantan semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan di kawasan tempat letak kereta awam itu berjaya menahan lapan buah kenderaan dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.
Kataya, operasi yang bermula pukul 5.52 pagi itu melibatkan 20 pegawai Pasukan Taktikal Khas (Pastak), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan JIM Kelantan hasil risikan selama tiga bulan.
“Tiga lelaki tempatan termasuk ‘Mat Sero’ dan seorang lelaki Myanmar yang berperanan sebagai ‘transporter’ (pengangkut) ditahan. Turut ditahan 22 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar berusia lima hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, kumpulan ‘transporter’ bertindak agresif dengan memecut dan merempuh beberapa kenderaan termasuk milik pasukan operasi sebelum berjaya dipintas. Beberapa warga asing cuba bersembunyi di dalam semak berhampiran tetapi berjaya ditemui.
“Siasatan mendapati sindiket membawa masuk PATI melalui laluan tikus di sempadan Kelantan sebelum diserahkan kepada ‘transporter’ tempatan untuk dihantar ke lokasi tertentu di Lembah Klang.
“Setiap PATI dikenakan bayaran RM400 hingga RM500. Sindiket ini dipercayai aktif hampir setiap minggu sejak enam bulan lalu,” katanya.
Turut disita tiga buah telefon bimbit dan lapan buah kenderaan iaitu Mitsubishi Triton, Toyota Cross, Toyota Innova, Toyota Rush, Isuzu D-Max, Nissan X-Trail, Toyota Voxy dan Proton X90.
Ujarnya, JIM akan memburu saki-baki sindiket kerana mengancam keselamatan dan kedaulatan negara serta bertindak tegas tanpa sebarang kompromi. Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala 35 warga asing ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














