ALOR SETAR – Menteri Besar (MB), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan kejadian rasuah projek penternakan lembu milik kerajaan negeri yang didakwa membabitkan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.
Kata Muhammad Sanusi, ia kerana semasa kejadian tersebut didakwa berlaku, beliau belum lagi dilantik sebagai MB Kedah.
“Saya tak tahu kerana kejadian itu zaman sebelum saya jadi MB, sebelum saya masuk sini iaitu sebelum tahun 2020.
“Saya tak tahu apa, saya baru tengok surat khabar tetapi yang beri orang lain, yang ambil orang lain tetapi yang kena orang lain. Itu pelik juga no..,” katanya selepas Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050, di sini hari ini.
Menurutnya, Azman juga telah membuat sidang akhbar semalam selepas pertuduhan di mahkamah dan mendakwa pendakwaan tersebut bermotifkan politik.
“Semua orang tahu, siapa yang ikuti benda itu nampak dengan jelaslah. Kita pun tak mahu cakap apalah pasal (sudah jadi) kes mahkamah dah kan,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan terhadap Azman, kata beliau, tiada sebarang tindakan yang akan diambil kerana Ahli Parlimen itu belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Berhubung status projek penternakan tersebut, beliau memaklumkan bahawa Kedah Agro telah ditutup.
“Saya tiada maklumat, Kedah Agro pun tutup dah dan bila tutup, maknanya dah tiada aktiviti lah. Ini kes lama sebelum 2020, masa itu MB orang lain, Exco-exco pun orang lain dan beliau (Azman) pun salah seorang Exco waktu itu,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan Azman, 53, dan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan subahat dan rasuah projek usaha sama penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah.
Amar Assuat didakwa dua pertuduhan meminta dan menerima suapan wang tunai RM400,000 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun bagi membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu.
Ia sebagai dorongan bagi membantu individu tersebut mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu di Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).
Azman pula didakwa bersubahat dengan Amar Assuat bagi menerima suapan wang tunai RM400,000 bagi dirinya daripada lelaki sama sebagai upah membantu individu berkenaan mendapatkan projek berkenaan.
Untuk rekod, Azman ketika bersama PKR pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani Kedah sebelum keluar parti pada Mei 2020 dan meneruskan portfolio itu selepas Muhammad Sanusi dilantik sebagai MB. – KOSMO! ONLINE














