PUTRAJAYA – Mana-mana individu yang mempunyai saman tertunggak tidak akan terjejas dengan kelayakan subsidi petrol RON95 (Budi95).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol Budi95 merupakan dua mekanisme berbeza dan beroperasi secara berasingan.
Katanya, kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik.
“Berdasarkan dasar semasa, untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol Budi95, pemohon hendaklah memenuhi syarat asas berikut iaitu pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad.
“Syarat kedua ialah pemohon mestilah memiliki lesen memandu yang aktif iaitu lesen yang masih dalam tempoh sah, atau yang tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun,” katanya.
Pada masa sama, MOT menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE














