PETALING JAYA – Susulan isu saman yang diterima pelakon Rita Rudaini daripada Yang Dipertua Muafakat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, pelakon Azhar Sulaiman tampil menyuarakan pandangannya serta meminta penjelasan daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Berdasarkan pemerhatian Azhar, 54, ramai dalam kalangan ibu bapa yang bersetuju dengan tindakan Rita berhubung isu pemilihan pelajar ke institusi tersebut.
Dia juga berharap Pengerusi Mara iaitu Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tampil memberi penjelasan bagi meredakan kekeliruan awam.
“Assalamualaikum kepada bos Mara (Asyraf) yang kami hormati. Berdasarkan tinjauan saya terhadap suara rakyat di media sosial, rata-rata ibu bapa sependapat dengan Rita Rudaini berkenaan isu pemilihan pelajar ke Mara.
“Mungkin sedikit penjelasan daripada pihak tuan dapat menjernihkan keadaan yang mula menjadi kusut tanpa sebab yang jelas untuk Mara. Terima kasih bos,” katanya dalam Facebook.
Sebelum ini, dua tokoh akademik nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon, Rita Rudaini, selepas dakwaan fitnah berlarutan beberapa bulan dan notis tuntutan RM1 juta sebelum ini tidak dipatuhi.
Peguam mereka, Datuk Adnan Seman, berkata, saman itu difailkan selepas mendapati Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.
Adnan menegaskan kenyataan itu memberi kesan reputasi besar kepada kedua-dua plaintif memandangkan bilangan pengikut Rita dalam media sosial cukup ramai.
Tambah Adnan, tindakan saman tersebut difailkan selepas Rita gagal memenuhi tuntutan notis bertarikh 15 Oktober lalu.
Terdahulu, pelakon filem Mami Jarum itu mendakwa, wujud kepincangan berlaku dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau dikenali Muafakat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar. -KOSMO! ONLINE














