KUALA LUMPUR – Kerajaan meminta Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) meneliti semula cadangan untuk memansuhkan peruntukan kerani berartikel yang memberi laluan kepada individu belum mengambil ijazah undang-undang sepenuh masa menjalani latihan praktikal di firma guaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, mahkamah sebelum ini juga telah memutuskan keputusan LPQB untuk tidak meneruskan program itu pada tahun 1985 adalah melampaui kuasa di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166).
Ujar beliau, program tersebut wajar diteruskan dengan penambahbaikan selaras dengan perkembangan semasa bagi memastikan peguam dihasilkan melalui laluan itu kekal berkualiti tinggi dan setaraf dengan piawaian profesion undang-undang negara.
“Kerajaan menegaskan bahawa LPQB perlu meneliti semula cadangan pemansuhan peruntukan kerani berartikel dengan mengambil kira kepentingan rakyat, peluang pendidikan alternatif dan potensi penambahbaikan program.
“Sebarang pindaan hanya boleh dibuat selepas penelitian dan libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew sama ada kerajaan bercadang membuat pindaan kepada Akta 166 bagi memansuhkan program kerani berartikel yang memberi laluan kepada individu untuk menjadi peguam tanpa mengambil ijazah undang-undang sepenuh masa.
Terdahulu, Kulasegaran berkata, program kerani berartikel diwujudkan oleh Parlimen sebagai tiga daripada enam fungsi LPQB bagi memberi pendedahan sebenar terhadap kerja guaman, membolehkan latihan dibimbing oleh peguam kanan dan menjadi laluan alternatif untuk memasuki profesion guaman.
Menurut beliau, pelaksaan program itu diperuntukkan di bawah Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Kerani Berartikel) 1979 [P.U.(A) 328/1979] yang digubal di bawah Akta 166 dan berkuat kuasa pada 28 Disember 1979.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan difahamkan, pada Januari 1985 LPQB telah memutuskan bahawa
kerani berartikel tidak lagi dibenarkan sebagai laluan kemasukan sebagai peguam bela dan peguam cara.
Kata beliau, LPQB memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk jumlah pelajar yang mendaftar melalui laluan itu yang kecil dan ketiadaan infrastruktur untuk menjalankan kursus.
Tambahnya, faktor lain adalah kos tinggi membangunkan semula kemudahan serta kewujudan laluan lain yang mencukupi termasuk Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang tempatan dan Sijil Amalan Guaman. – KOSMO! ONLINE














