BANGKOK – Seorang pesara meninggal dunia akibat diserang seekor beruk liar yang menggigit mangsa sehingga mati di rumahnya di Yala, selatan Thailand, lapor portal berita MailOnline semalam.
Chaiphum Sae-eung, 63, cuba melawan seekor beruk jantan agresif spesies macaque yang memasuki rumahnya.
Namun, haiwan tersebut yang dikatakan menakut-nakutkan penduduk setempat sebelum ini, bertindak mencakar mangsa berulang kali sebelum menggigit kaki kirinya.
Chaiphum terhuyung-hayang ke belakang, berdarah dan tidak mampu berdiri semula.
Mayat lelaki itu kemudian ditemui tersandar di dinding dengan puluhan kesan gigitan.
Anak saudaranya, Pipat Sae-eung berkata, apabila dia menemui Chaiphum pada 6 Disember lalu, terdapat tompokan darah di atas lantai.
Polis tiba di lokasi dan menemui mayat lelaki itu masih memegang batang besi yang dipercayai digunakan dalam percubaan terdesak untuk menangkis serangan binatang buas tersebut. – AGENSI














