BUKIT KAYU HITAM – Cubaan dua lelaki Thailand menyeludup kira-kira 1,700 liter diesel menggunakan trak pikap ke negara mereka gagal apabila ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), di sini semalam.
Kegiatan dua individu berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu dikesan hasil pemeriksaan keluar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada pukul 4.49 petang dan 7.45 malam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati suspek mengubah suai dan memasang tangki tambahan pada pikap jenis Toyota Hilux untuk kegiatan penyeludupan.
“Diesel disembunyikan bagi tujuan penyeludupan ke Thailand dengan setiap kenderaan membawa sejumlah diesel yang besar.
“Kes pertama menemui tangki tambahan yang dipenuhi diesel iaitu kira-kira 900 liter bernilai RM2,772, manakala kes kedua pula menemui tangki yang diubah suai, juga dipenuhi diesel iaitu kira-kira 800 liter bernilai RM2,464,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua pemandu bersama kenderaan masing-masing ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 64(1) APJ 1987,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














