PETALING JAYA – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bersama RAM Sustainability Sdn. Bhd. mengumumkan penaiktarafan Penarafan Kemampanan Korporat syarikat pelaburan hartanah itu daripada Emas3 kepada Emas1.
Ia diberi selepas semakan tahunan oleh RAM Sustainability yang mendapati komponen sosial PHB telah melonjak ke tahap tertinggi iaitu Platinum, berbanding penarafan Emas3 sebelum ini.
Pada masa sama, komponen alam sekitar turut meningkat daripada Perak3 ke Emas2, manakala komponen tadbir urus kekal kukuh pada tahap Emas2.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, pencapaian itu membuktikan usaha berterusan syarikat memperkukuh agenda kemampanan.
“Penaiktarafan keseluruhan kepada Emas1 merupakan pengiktirafan terhadap komitmen kami mempertingkatkan prestasi kemampanan syarikat.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian penarafan Platinum bagi komponen sosial, yang mengukuhkan mandat kami untuk menjana nilai daripada hartanah komersial demi manfaat komuniti bumiputera serta melaksanakannya secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, PHB akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan Pelan Induk Strategi Risiko Tiga Tahun PHB dan Hala Tuju Persekitaran 2030. – KOSMO! ONLINE














