KUALA LUMPUR – Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing terus mempamerkan aksi cemerlang di penghujung saingan 2025 apabila memenangi Kejohanan Badminton Guwahati Masters yang berlangsung di India minggu lalu.
Pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Saru Sajai, Ahad lalu, bekas gandingan juara remaja dunia itu membenam pasangan tuan rumah, P.K. Roy-Sai Pratheek menerusi aksi straight set 21-13, 21-18.
Lebih manis, ia adalah gelaran kedua berturut-turut yang diraih Aaron-Khai Xing sepanjang berada di India selepas mereka turut memenangi kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow sebelum ini.
Khai Xing berkata, dua gelaran berturut-turut itu nyata menjadi pembakar semangat buat dia dan Aaron dalam usaha mereka untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Saya sangat gembira dengan kejayaan menjadi juara dalam dua kejohanan berturut-turut kerana ia merupakan pencapaian yang sangat bermakna untuk kami. Kemenangan ini mampu menambah keyakinan untuk meningkatkan ranking.
“Bagaimanapun, saya rasa kami masih perlu banyak melakukan latihan dan terus membina keyakinan diri untuk bersaing dengan pemain-pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia,” katanya.
Selaku juara, Aaron-Khai Xing membawa pulang hadiah wang tunai AS$8,690 (RM35,811) berserta pingat, manakala Roy-Pratheek berpuas hati dengan AS$4,180 (RM17,225) dan juga pingat.
Selain dua gelaran diraih di India, gandingan No. 46 dunia itu turut merangkul kejuaraan ketika beraksi pada kejohanan Malaysia Super 100 Oktober lalu menewaskan rakan senegara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao. – KOSMO! ONLINE














