fbpx
Seorang wanita menulis mesej semasa acara memperingati insiden MH370 di Subang Jaya pada 3 Mac 2024. - AFP

Malaysia Airlines diarah bayar RM1.7 juta kepada waris penumpang MH370

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEIJING – Sebuah mahkamah Beijing memerintahkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines untuk membayar pampasan kepada keluarga lapan penumpang penerbangan MH370, lebih sedekad selepas pesawat itu hilang.

Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang berkata dalam satu kenyataan bahawa 47 tuntutan mahkamah lain telah ditarik balik selepas keluarga terbabit menyelesaikannya di luar mahkamah dengan Malaysia Airlines dan cabang antarabangsanya, Malaysia Airlines International.

Mahkamah berkata, pampasan yang diputuskan Jumaat lalu itu adalah untuk menampung perbelanjaan pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain, dengan setiap keluarga akan menerima lebih 2.9 juta yuan (RM1.7 juta).

Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 yang membawa 239 orang, hilang dari radar pada 8 Mac 2014 semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Walaupun pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dilakukan, pesawat tersebut masih belum ditemui.

Dua pertiga daripada penumpang adalah warga China, manakala yang lain termasuk rakyat Malaysia, Indonesia dan Australia, serta warga India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis.

Daripada 78 kes asal yang dibawa oleh keluarga susulan nahas pesawat itu, mahkamah di Beijing berkata, 23 masih belum selesai.

“Keluarga penumpang tersebut sama ada belum memohon pengisytiharan kematian atau belum menyelesaikan proses pengisytiharan,” kata mahkamah.

Pengumuman mahkamah itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan bahawa pencarian pesawat itu akan disambung semula pada akhir Disember, satu keputusan yang disambut baik oleh Kementerian Luar China dan waris mangsa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI