TEMERLOH – Seorang jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang pulang ke rumahnya di Kampung Batu 4 Paya Pulai, di sini dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki di ruang tamu rumahnya Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu mangsa kemudiannya cuba menahan suspek bersama beberapa orang jiran namun suspek berjaya melarikan diri menaiki sebuah trak pikap yang diletakkan di hadapan rumah mangsa.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, susulan kejadian itu polis telah mengesan suspek di tepi jalan dekat Kampung Batu 4 di Maran kira-kira pukul 1.16 tengah hari semalam.
“Dengan bantuan orang awam suspek telah ditahan bersama sebuah kenderaan jenis Nissan Navara berwarna putih yang dilaporkan hilang di kawasan Pekan Awah Maran pada 29 November lalu.
“Suspek yang berusia 36 tahun akan dibawa ke hadapan Majistret Temerloh bagi permohonan reman hari ini,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu. – KOSMO! ONLINE














