SEREMBAN – Malaysia menegaskan, Kemboja dan Thailand perlu kembali ke meja rundingan dan mematuhi Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang pernah dipersetujui, susulan ketegangan terbaharu di sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Artikel 7 dalam perjanjian itu dengan jelas menyatakan bahawa, jika berlaku sebarang pertempuran sama ada disengajakan atau tidak, kedua-dua pihak mesti segera kembali ke meja rundingan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang implikasi terhadap kestabilan serantau.
“Pagi ini saya bercakap dengan rakan sejawat kedua-dua negara supaya kembali kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur. Artikel 7 menyatakan jika berlaku pertempuran, kedua-dua pihak mesti kembali ke meja runding,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan ke-15, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menghubungi kepimpinan kedua-dua negara bagi menyatakan pendirian Malaysia serta keperluan meredakan situasi dengan segera. – KOSMO! ONLINE














