fbpx
Mohd Irwan menunjukkan katrij vape mengandungi cecair ganja yang dirampas. Foto oleh CHERINE JON

IPD Padawan rampas 690 katrij vape mengandungi cecair ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADAWAN – Taktik sindiket mengedar cecair ganja menggunakan katrij vape terbongkar hasil penahanan seorang ahli sindiket berkenaan ketika mengambil bekalan itu yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier di Jalan Kong Ping, di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, berkata, hasil tangkapan yang dibuat kira-kira pukul 9 pagi, 5 Disember lalu itu membawa kepada rampasan satu kotak mengandungi 690 katrij vape yang dianggarkan bernilai RM586,500 itu, serta dibungkus menggunakan bungkusan coklat.

Menjelas lanjut, beliau berkata, seorang ahli sindiket iaitu lelaki tempatan berusia 20 tahun turut ditahan ketika mengambil bekalan itu menggunakan sebuah motosikal.

Katanya suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak September lalu dan ketika ditangkap, ia merupakan kali kedua dia terlibat dalam kegiataan berkenaan dengan mengambil bungkusan yang diarahkan di pusat perkhidmatan kurier.

“Suspek menerima upah sebanyak RM200 untuk pengambilan bungkusan kotak di pusat perkhidmatan kurier dan menerima RM20 untuk setiap satu katrij yang dihantar kepada pelanggan di sekitar Kuching dan Padawan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, hari ini.

Mohd Irwan berkata, ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif dadah dan kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari iaitu mulai 7 hingga 13 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI