PETALING JAYA – Astro telah bergabung dengan tiga lagi syarikat media tempatan iaitu NKMH Media, The A-List Malaysia dan Mixology untuk penganjuran program Shout Out! 2026.
Shout Out! 2026 adalah sesi pertemuan industri yang menghimpunkan usahawan, pengasas jenama dan syarikat bagi mendapatkan panduan awal mengenai trend semasa, strategi dan perancangan untuk penganjuran kempen pengiklanan Ramadan serta raya tahun depan.
Acara ini dibangunkan untuk menjadi platform profesional bagi membolehkan perancangan awal dibuat dengan lebih strategik dan tepat, selaras dengan perubahan trend semasa pengguna serta landskap media yang semakin kompetitif selain mengikut kesesuaian bajet.
Ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada usahawan mengenai perubahan pasaran, serta trend media yang sedang membentuk strategi pemasaran moden menjelang musim perayaan.

Shout Out! Juga dapat membantu proses pemilihan platform media yang tepat bagi membantu usahawan menggabungkan platform secara menyeluruh iaitu di televisyen, radio, digital, sosial media, pengiklanan luar, audio dan video tahap bajet masing-masing.
Penganjur bersama dan juga Ketua Pegawai Eksekutif NKMH Media, Nissa Rosli berkata, inisiatif ini menyatukan kekuatan empat entiti media yang berpengaruh di Malaysia.
“Gabungan empat entiti ini bakal menjadikan Shout Out! 2026 sebagai salah satu acara perancangan media paling komprehensif untuk usahawan bagi musim Ramadan dan hari raya,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, Shout Out! 2026 dibangunkan kerana kebanyakan jenama hanya mula merancang kempen pada saat akhir sehingga boleh menyebabkan peningkatan kos, persaingan sengit kerana kurangnya pendedahan perancangan kempen lebih awal dan strategik. -KOSMO! ONLINE














