KUALA LUMPUR – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan satu sistem percukaian yang akan memberi impak secara terus kepada semua rakyat termasuk golongan B40.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula sistem percukaian bersasar dan telah digunakan lebih 40 tahun lalu serta telah difahami oleh pihak industri, peniaga dan rakyat Malaysia.
Justeru, katanya, kerajaan belum berhasrat memperkenalkan semula GST kerana pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk menerima impak cukai GST yang bersifat lebih meluas kepada majoriti rakyat.
“Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan struktur SST sedia ada untuk ditambah baik. Langkah ini mengekalkan cukai penggunaan secara bersasar dimana barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan oleh majoriti rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai.
“Pelaksanaan SST juga dapat memberi impak fiskal lebih pantas kepada kerajaan berbanding langkah memperkenalkan semula GST yang memerlukan tempoh masa persediaan lebih panjang sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat mengemas kini sistem sebelum GST dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Hui Ying berkata, kerajaan mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk struktur keseluruhan sistem percukaian sedia ada, ruang penambahbaikan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat sebelum memutuskan kaedah paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Menjawab soalan asal Senator Datuk Wu Him Ven, beliau berkata, pelaksanaan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital Luar Negara (STODS) bermula tahun 2020 dan Cukai Jualan ke atas Barangan Bernilai Rendah (LVG) bermula 2024 menangani isu ketirisan hasil.
Menurut beliau, pengenaan cukai jualan ke atas LVG yang dibeli secara dalam talian daripada penjual luar negara dilaksanakan bagi memastikan sistem percukaian negara kekal adil dan relevan dengan perkembangan ekonomi digital.
Jelasnya, sebelum pelaksanaan LVG, barangan import bernilai RM500 ke bawah boleh memasuki pasaran tempatan tanpa dikenakan cukai jualan, sedangkan peniaga tempatan terpaksa menanggung cukai serta pelbagai kos operasi.
“Keadaan ini bukan sahaja mewujudkan ketidakseimbangan dalam pasaran, malah berpotensi menjejaskan daya saing perniagaan tempatan serta mengurangkan hasil negara.
“Oleh itu, di bawah LVG, jurang tersebut telah berjaya diseimbangkan di mana penjual dalam dan luar negara kini tertakluk kepada kenaan cukai jualan.
“STODS pula diperkenalkan dengan tujuan mewujudkan `level playing field’ antara penyedia perkhidmatan digital tempatan yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan berbanding penyedia perkhidmatan luar negara yang sebelum STODS diperkenalkan tidak tertakluk kepada kenaan cukai perkhidmatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














