LANGKAWI – Kebanyakan hotel di pulau peranginan ini sudah mencapai lebih 90 peratus kadar penginapan menjelang musim cuti persekolahan dan perayaan Krismas, minggu depan.
Situasi itu dipercayai susulan keadaan di Hatyai, Thailand yang belum pulih daripada impak banjir, baru-baru ini sehingga ramai memilih Langkawi sebagai destinasi alternatif.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, bulan ini menjadi kemuncak kepada industri pelancongan di Langkawi dengan unjuran ketibaan kira-kira 400,000 pelancong.
“Mengikut maklumat yang diperoleh, kadar tempahan hotel di kawasan Pantai Chenang, Pantai Tengah dan Kuah sudah mencapai lebih 90 peratus.
“Justeru, kami mengalu-alukan pelancong yang memilih untuk ke Langkawi dan bagi pelancong tempatan bolehlah memanfaatkan promosi ‘Langkawi Special Deals’ yang sedang berlangsung sehingga akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas program Jalinan Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITE), di sini malam tadi.
Katanya, sehingga 30 November lalu, pulau ini mencatatkan seramai 2.75 juta pelancong.
“Dengan pertambahan pelancong pada bulan ini, kita menjangka ia dapat membantu memastikan sasaran 3.5 juta pelancong ke Langkawi tahun ini tercapai,” ujarnya.
Jelasnya, angka itu disumbangkan oleh penganjuran acara antarabangsa di sini seperti Langkawi International Half Marathon (LIHM) yang menarik kira-kira 20,000 peserta serta ahli keluarga mereka untuk bercuti di Langkawi.
Tambahnya, program LITE yang diadakan malam tadi turut membawa masuk 60 wakil pembeli dari China, India, Taiwan dan Brunei bersama 50 syarikat pelancongan tempatan.
“Program ini dijangka dapat menjana sekurang-kurangnya RM8 juta nilai jualan sepanjang tiga hari ia berlangsung,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














