BANGKOK – Skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara bakal mengharungi detik sukar menjelang aksi penting Kumpulan B Sukan SEA 2025 menentang Vietnam, Khamis ini apabila disahkan kehilangan dua tonggak utama secara serentak.
Persiapan skuad kendalian Nafuzi Zain terjejas apabila penyerang negara, Haqimi Azim Rosli terpaksa pulang ke tanah air susulan pemergian bapanya, manakala pemain tengah, Ahmad Haziq Kutty Abba mengalami kecederaan hamstring yang serius.
Nafuzi berkata, setakat ini belum ada kata putus sama ada Haqimi sempat terbang semula ke Bangkok untuk aksi menentang Vietnam, namun mengakui khidmat pemain itu amat ditagih.
“Pasukan mengucapkan takziah untuk Haqimi, bapanya meninggal dunia dan dia telah pulang ke tanah air. Sekarang kita biarkan dia uruskan segala urusan bersama keluarga.
“Kita akan lihat situasi sama ada dia dapat kembali ataupun sebaliknya. Tetapi untuk pasukan, kita memang memerlukan khidmat Haqimi untuk bertemu Vietnam nanti.
“Berkemungkinan besar dia akan kembali, tetapi kita bagi dia masa dahulu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Lebih malang, Nafuzi mengesahkan kempen Sukan SEA buat Haziq berakhir lebih awal apabila pemain Penang FC itu tidak sempat pulih bagi baki kejohanan ini.
“Setakat ini yang cedera serius hanya Haziq. Saya rasa untuk baki aksi di Sukan SEA dia tidak dapat beraksi walaupun kita berjaya mara ke separuh akhir nanti.
“Ini satu kehilangan besar sebab kita perlukan Haziq dalam skuad kerana dia memainkan peranan penting, terbukti ketika kita berdepan Laos dalam aksi pertama,” jelasnya.
Begitupun, Nafuzi mampu menarik nafas lega apabila Aliff Izwan Yuslan telah mendapat pelepasan untuk menyertai pasukan, selain Aiman Yusoff yang disahkan pulih daripada demam.
Menjelang pertemuan menentang Vietnam, Nafuzi mengakui lawan memiliki skuad serba lengkap namun optimis anak buahnya mampu memberikan tentangan sengit.
“Vietnam adalah pasukan yang bagus, itu cabaran yang perlu dihadapi. Fokus adalah bermain dengan corak permainan sebenar kerana yang penting adalah layak (ke separuh akhir),” katanya.
Malaysia yang membenam Laos 4-1 pada aksi pembukaan Sabtu lalu, kini hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir. – KOSMO! ONLINE














