PETALING JAYA – Isu mengenai segelintir penjaga menggunakan alamat ‘dummy’ bagi mendapatkan penempatan anak ke sekolah di sekitar Putrajaya telah pun dipanjangkan ke Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau juga memohon perjumpaan dengan pihak terlibat untuk berbincang mengenai masalah yang berbangkit.
Radzi berkata, beliau menerima aduan daripada ibu bapa yang menyuarakan tentang isu anak-anak mereka ditempatkan di sekolah yang jauh daripada kawasan kediaman masing-masing.
Beliau berkata, dalam aduan tersebut, terdapat juga anak-anak yang tinggal di luar kawasan mendapat penempatan di sekolah-sekolah sekitar Putrajaya apabila menggunakan ‘alamat dummy’ dan bukannya alamat kediaman sebenar mereka semasa membuat permohonan.
“Antara aduan yang diterima, seorang murid yang kini mengikuti kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 5(1) tidak ditawarkan tempat untuk darjah satu di sekolah yang sama.
“Sebaliknya, murid tersebut ditempatkan di SK Putrajaya Presint 8(3), sedangkan abangnya yang akan memasuki darjah tiga tahun hadapan masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1),” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambah Radzi, bapa murid berkenaan turut mendakwa bahawa ramai pihak menggunakan alamat ‘dummy’ bagi mendapatkan keutamaan penempatan sekolah.
“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh ibu bapa untuk menguruskan persekolahan anak-anak, terutama pada waktu puncak.
“Jadi aduan yang dipanjangkan ini matlamatnya adalah untuk mencari penyelesaian terbaik agar isu penempatan sekolah dapat ditangani secara adil dan memudahkan ibu bapa serta anak-anak warga Putrajaya,” katanya.
Beliau juga berharap pihak-pihak yang terlibat dapat memberi perhatian serius ke atas isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Tegasnya, penempatan sekolah bagi sesi 2026 hendaklah diuruskan dengan telus dan keutamaan penempatan murid perlulah diberikan kepada penduduk yang tinggal berdekatan dengan sekolah bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak di Putrajaya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan beberapa ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa terdapat segelintir penjaga menggunakan alamat ‘dummy’ bagi memudahkan urusan penempatan anak ke sekolah di sekitar Putrajaya.
Perbuatan itu didakwa sekali gus menafikan hak penduduk setempat yang benar-benar tinggal berhampiran sehingga terpaksa menghantar anak ke sekolah lebih jauh.
Menerusi hantaran dimuat naik @Hasanahabdullah3883 di aplikasi Thread, kegiatan tersebut mula dikesan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila larangan rentas negeri dan daerah berkuat kuasa.
Sementara itu, Hasanah dalam hantaran terbaru di Thread menzahirkan rasa syukur apabila kebimbangan yang disuarakan sebelum ini mendapat perhatian Radzi.
“Alhamdulillah, hantaran saya tentang ‘dummy address’ mendapat perhatian YB. Semoga isu penempatan anak anak ke sekolah berdekatan dapat diselesaikan sebaik mungkin.
“Terima kasih juga kepada Kosmo kerana membuat berita tentang ini sehingga menarik perhatian semua orang,” komennya. – KOSMO! ONLINE














