MELAKA – Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencabul seorang wanita ketika mangsa meminta bantuannya untuk membeli minyak motosikal, Oktober lalu.
Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Jefri Joris, 46, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun kira-kira pukul 11.50 pagi berhampiran pintu gerbang Masjid Al-Abrar Semabok, dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Oktober 2025.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, motosikal mangsa telah kehabisan minyak dan dia kemudiannya ternampak tertuduh lalu meminta bantuan untuk membeli petrol di kedai runcit berhampiran sambil menyerahkan wang tunai RM5.
Tertuduh kemudian datang kepada mangsa bertanyakan tentang botol kosong untuk mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba menyentuh bahagian kiri dada mangsa, menyebabkan wanita itu terkejut dan meminta wangnya dipulangkan.
Tertuduh turut cuba melakukan perbuatan tersebut sekali lagi sebelum segera beredar dari kawasan tersebut.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diberikan dapat berjalan serentak dengan sabitan kes lain sebelum ini dengan alasan dia mengalami tekanan sehingga sudah bercerai dengan isterinya, selain mempunyai empat orang anak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lima bulan penjara dari tarikh ditangkap iaitu 16 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE














