TAMPIN – Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) di Tampin bukan sekadar menjadi tempat anak-anak istimewa belajar mengawal sensori serta emosi, bahkan membuktikan komitmen Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dalam menyokong perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd. Nasri Mohd. Nordin berkata, RMHC Malaysia komited dalam melaksanakan program yang memenuhi keperluan masyarakat setempat khususnya dalam membantu golongan ibu bapa yang memiliki anak autism.
“RMHC Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1990 sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program yang secara langsung meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.
“Kami dapati ada isu berkaitan dengan terapi untuk anak-anak autism ini, terutamanya dari segi pembelajaran dan perkembangan. Terapi ini memerlukan peralatan dan bilik terapi khas.

“Banyak tempat penjagaan anak-anak autism ini tidak ada fasiliti seperti yang ada di RMSR, kalau ada pun mahal (swasta), tidak dapat menjangkau banyak keluarga yang memerlukan terutamanya di kawasan luar bandar.
“Jadi, RMHC terpanggil untuk turut membantu perkembangan anak istimewa ini seawal usia tiga tahun hingga 18 tahun dan dalam kes-kes tertentu, sehingga usia 21 tahun bagi membantu pembelajaran sensori mereka,” katanya kepada pemberita sempena lawatan media ke RMSR di McDonald Pandu Lalu Tampin, baru-baru ini.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan RMHC untuk menyediakan ruang yang kondusif bagi membantu anak-anak istimewa berkembang dengan sokongan keluarga dan komuniti sekeliling.
“Setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang berhak mendapat peluang untuk berkembang dalam suasana yang positif dan menyokong.
“Melalui bilik terapi ini, kami mahu menyediakan ruang yang bukan sahaja membantu anak-anak belajar mengawal emosi dan tumpuan, tetapi juga memberi ketenangan kepada ibu bapa untuk melihat kemajuan anak mereka,” katanya.

Tambahnya, usaha berkenaan tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada McDonald’s Malaysia, para pelanggan serta penderma yang terus mempercayai misi RMHC untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan.
“RMSR di Tampin merupakan sebahagian daripada rangkaian 36 bilik terapi sensori yang telah diwujudkan di seluruh negara termasuk di hospital pengajar, pusat pemulihan dalam komuniti (PPDK) dan institusi pendidikan khas.
“Berdasarkan rekod di 35 bilik terapi sensori yang telah kami laksanakan dengan lokasi pertamanya di Petaling Jaya, kami telah membantu lebih 4,500 anak istimewa di seluruh negara.
Malah menurut beliau, RMHC Malaysia baru-baru ini telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi penyerahan RMSR ke-36 di PPDK Semenyih.
“Selain daripada RMSR, RMHC Malaysia juga mengendalikan Rumah Ronald McDonald sebagai penginapan sementara untuk keluarga pesakit pediatrik.
RMHC Malaysia turut menaja pembedahan pembetulan kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan klef (sumbing bibir dan lelangit) melalui program Anugerah Senyuman, serta menyalurkan Pek Kembali ke Sekolah kepada anak-anak keluarga asnaf dan berpendapatan rendah.
Sementara itu, Pakar Terapi Carakerja RMHC Malaysia, Muhammad Yusof Abdul Kadir berkata, RMSR Tampin cukup istimewa kerana sesi terapi dikendalikan oleh jurupulih carakerja bertauliah bagi memastikan setiap intervensi yang diberikan adalah selamat, sesuai dan menepati keperluan sensori kanak-kanak.
Menurutnya, ia juga merupakan kemudahan pertama seumpamanya yang diwujudkan di restoran McDonald’s.
“Ruang ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti lampu interaktif, permainan sensori, muzik latar yang menenangkan serta bahan rangsangan visual bagi membantu kanak-kanak menenangkan diri, meningkatkan tumpuan serta merangsang perkembangan deria mereka,” katanya.
Jelasnya, kemudahan di bilik berkenaan menggabungkan beberapa ciri yang sesuai untuk anak-anak istimewa daripada tahap mild hingga severe.

“Sesetengah bilik terapi hanya memfokuskan kepada satu kategori sahaja, namun RMSR di Tampin ini menawarkan bilik terapi yang komprehensif, di mana banyak terapi boleh dilakukan.
“Kita ada pakar terapi sepenuh masa yang bertauliah menjalankan rawatan di sini. Jadi ia adalah satu kelebihan untuk masyarakat di daerah Tampin kerana ahli terapi cara kerja di Malaysia sangat kurang.
Muhammad Yusof berkata, ahli terapi bukan hanya akan merawat anak autism, bahkan memberikan pendidikan kepada ibu bapa untuk melaksanakan terapi di rumah masing-masing..
“Di sini, ahli terapi cara kerja kami akan berkolaborasi dengan ibu bapa dengan kerap, kita faham di rumah ibu bapa selalunya tak tahu nak buat apa-apa.
“Jadi di sini ahli terapi akan ajar, beri kerja rumah supaya bila balik pulang mereka boleh buat terapi sendiri. Dan juga kita memberikan sokongan moral serta motivasi. Contohnya sekiranya anak-anak mereka tantrum di luar, mereka boleh bertanyakan nasihat serta panduan dari ahli terapi,” katanya.
Sementara itu, Nur Azimah Md. Rosli, 30, berkata, dia sudah menggunakan kemudahan terapi di RMSR Tampin sejak dua tahun lalu bagi membantu perkembangan anak sulungnya, Naurah Sofea Nur Aliff Izzuddin, 6, yang sebelum ini mengalami masalah sensori serta sukar fokus.
“Saya tahu tempat ini dari kawan. Saya hantar anak saya ke sini sebab anak saya kurang fokus dan sensori anak kurang. Malah, anak juga ada masalah kalau pergi tempat ramai orang, dia tak suka.

“Bila hantar rawatan ke sini, anak makin boleh mengawal sensori serta fokus selain sudah boleh bergaul di tempat orang ramai. Cikgu (ahli terapi cara kerja) banyak mengajar anak cara bergaul serta menguasai sensori,” katanya.
Bagi Nurazlihafizah Ahmad Ali, 40, pula, sejak menghantar anaknya menjalani rawatan di RMSR Tampin dua tahun lalu, anaknya sudah mampu memahami arahan ringkas serta memahami situasi bahaya.
“Mula-mula saya tak tahu apa faedah bilik terapi ini, jadi saya teruja nak hantar lepas dapat maklumat melalui rakan. Alhamdulilah, ada banyak perubahan anak saya dalam masa dua tahun.
“Walaupun, anak non-verbal, aktif, saya rasa lega apabila dia dah tahu bahaya itu apa. Saya dapat menghantar anak ke sini menjalani rawatan empat kali dalam tempoh sebulan.
“Saya lihat anak saya makin berjaya mengawal sensori serta emosinya. Dari tak tahu apa-apa, kini dah boleh berjalan sendiri, boleh berhadapan dengan orang ramai serta tidak duduk dalam dunianya sendiri,” katanya.
Menurutnya, dia akan terus menggunakan kemudahan RMSR Tampin yang diberikan secara percuma lebih-lebih lagi lokasinya sangat selesa serta selamat untuk kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE














