PETALING JAYA – Isu saman melibatkan pelakon Rita Rudaini dan Yang Dipertua Muafakat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi perkongsian di Facebook, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya mengambil maklum isu saman fitnah yang dikeluarkan oleh Muafakat kepada selebriti berkenaan.
“Peringkat awal saya tidak mahu campur isu perbalahan antara ibubapa pelajar MRSM.
“Namun atas rasa tanggungjawab saya akan panggil kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan tidak sihat; bahkan tauladan yang tidak baik buat pelajar,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, dua tokoh akademik nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon, Rita Rudaini, selepas dakwaan fitnah berlarutan beberapa bulan dan notis tuntutan RM1 juta sebelum ini tidak dipatuhi.
Peguam mereka, Datuk Adnan Seman, berkata, saman itu difailkan selepas mendapati Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.- KOSMO! ONLINE














