fbpx
SEBUAH kenderaan terperosok di dalam jalan merekah di bandarTohoku, wilayah Aomori hari ini. – AFP

30 cedera di Jepun, jalan raya merekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Gempa bumi kuat yang menggegarkan  perairan Jepun mencederakan sekurang-kurangnya 30 orang, kata pihak berkuasa hari ini,  dengan banyak  jalan raya rosak, manakala beribu-ribu orang terputus bekalan elektrik ketika suhu berada pada takat beku.

Agensi Meteorologi Jepun(JMA) berkata, gempa bermagnitud 7.5 itu berlaku pukul 11.15 malam (waktu tempatan) semalam.

Perdana Menteri Sanae Takaichi berkata,  30 orang cedera dalam gempa yang berpusat  di luar pantai wilayah Aomori, utara Jepun itu. Gegaran katanya, mencetuskan gelombang tsunami setinggi 70 sentimeter.

Penjawat awam di Hashikami, Pulau Honshu, Daiki Shimohata, 33,memberitahu AFP bahawa dia dan keluarganya bergegas keluar dari rumah mereka.

“Gegaran itu adalah sesuatu yang tidak pernah kami alami. Ia berlangsung selama 20 saat.

“Kami memeluk erat anak-anak kami. Gegaran itu mengingatkan saya kepada bencana (pada 2011),” katanya melalui panggilan telefon

Seorang penduduk cedera parah di pulau utama , Hokkaido, demikian  menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana.

Rakaman video menunjukkan orang ramai di pasar raya berpaut pada meja ketika  barang-barang jatuh daripada  rak, manakala jalan-jalan raya merekah  dengan sekurang-kurangnya sebuah kereta jatuh ke dalam lubang.

Di tempat lain, serpihan kaca pecah dari tingkap bertaburan di jalan raya dan kaki lima.

Laporan awal menyatakan,  beberapa kebakaran berlaku tetapi jurucakap kerajaan Minoru Kihara kemudian berkata, hanya satu kebakaran disahkan berlaku di sebuah rumah.

Di Hokkaido, wartawan AFP berkata,  tanah bergegar dengan kuat  kira-kira 30 saat apabila penggera telefon pintar memberi amaran kepada penduduk.

Di bandar Hachinohe, gempa itu melebihi tahap enam pada skala gegaran Shindo,  yang mana adalah  mustahil untuk bergerak tanpa merangkak.

Ketika suhu mencecah  0 darjah Celsius, sekitar 2,700 rumah terputus bekalan elektrik tetapi menjelang pagi ini, bekalan elektrik di kebanyakan kawasan telah dipulihkan, demikian  menurut penyedia utiliti.

Pada mulanya, JMA memberi amaran tsunami setinggi 3 meter (10 kaki) mungkin berlaku dan  boleh menyebabkan kerosakan besar.

Kira-kira 28,000 orang dinasihatkan untuk berpindah selepas gempa berlaku, kata perkhidmatan kecemasan, manakala media tempatan melaporkan, sebilangan tempat perlindungan sementara penuh.

Bagaimanapun  akhirnya, tsunami setinggi cuma 70 sentimeter direkodkan. Amaran tsunami  ditarik balik selepas beberapa jam.

Tiada kerosakan dikesan pada loji nuklear Higashidori atau Onagawa, kata pengendali Tohoku Electric Power.

JMA memberi amaran kepada orang ramai untuk berhati-hati terhadap gempa susulan dengan kekuatan sama selama kira-kira seminggu.

Pada  2011, gempa bumi sangat kuat bermagnitud 9.0 mencetuskan tsunami yang menyebabkan 18,500 orang terkorban  atau hilang serta menyebabkan kebocoran teruk pada  loji nuklear Fukushima.

Jepun memiliki sekitar 125 juta penduduk dan mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI