KUALA LANGAT – Upah RM80 bagi satu trip perjalanan mendorong seorang lelaki warga India menjadi pemandu pelancong haram sebelum aktiviti itu terbongkar selepas ditahan di Kilometer 9, Jalan Klang-Banting di sini, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan mendapati lelaki asing berusia 23 tahun itu menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai didaftarkan atas nama individu lain dengan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi membawa pelancong.
Menurutnya, lelaki itu baru seminggu bekerja sebagai pemandu pelancong dan menerima upah sebanyak RM80 bagi satu trip perjalanan pergi dan balik untuk penghantaran pelancong.
“Kenderaan itu disita dan pemandu terbabit ditahan bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Tambahnya, JPJ memandang berat mengenai isu tersebut kerana boleh menjejaskan pemandu warga tempatan yang mempunyai permit sah. – KOSMO! ONLINE














