BANGKOK – Thailand melancarkan serangan udara ke atas negara jirannya, Kemboja dengan kedua-dua pihak saling menuding jari berhubung pertempuran terbaru di kawasa sempadan yang mengorbankan seorang askar Thai.
“Tentera menerima laporan askar Thai diserang dengan senjata api, mengakibatkan seorang askar terbunuh dan empat cedera,” kata jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree dalam satu kenyataan pagi ini.
Winthai berkata, pesawat tentera Thailand kemudian menyerang sasaran tentera di beberapa kawasan untuk menyekat serangan Kemboja.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata sebaliknya berkata, askar Thai yang melancarkan serangan ke atas tentera Kemboja di wilayah sempadan Preah Vihear dan Oddar Meanchey awal pagi ini.
Beliau menuduh tentera Thailand ‘melepaskan tembakan berganda dengan kereta kebal di kuil Tamone Thom’ dan kawasan lain berhampiran kuil Preah Vihear.
Beliau berkata, Kemboja tidak membalas serangan itu.
Jurucakap Kemboja bagi pentadbiran wilayah Oddar Meanchey, Met Measpheakdey pula memberitahu, tembakan dilaporkan di kawasan kuil Tamone Thom dan Ta Krabei dengan sejumlah penduduk kampung yang tinggal berhampiran sempadan melarikan diri ke kawasan selamat’.
Markas Tentera Wilayah Kedua Thailand berkata dalam satu kenyataan bahawa sekitar 35,000 orang di Thailand telah dipindahkan dari kawasan sempadan dengan Kemboja sejak pertempuran terbaru meletus hari ini.
Kedua-dua pihak turut melaporkan pertempuran singkat semalam, menyebabkan dua askar Thailand cedera.
Pertempuran selama lima hari pada tahun ini antara Thailand dan Kemboja pula menyebabkan 43 orang terbunuh dan kira-kira 300,000 orang kehilangan tempat tinggal sebelum gencatan senjata berkuat kuasa. – AFP














