PETALING JAYA – Sikap prihatin seorang pengawal keselamatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban yang sanggup mengalihkan batu bata bagi memudahkan laluan orang kurang upaya (OKU) meraih pujian ramai.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @selian.kedar, lelaki berkenaan dilihat memindahkan beberapa batu bata yang menghalang laluan pejalan kaki sebelum menyusunnya di tepi bagi memberi ruang kepada pengguna kerusi roda memasuki kawasan berkenaan.
“Bukan kerja dia tetapi buat juga untuk kepentingan OKU yang guna kerusi roda dari Jabatan Kecemasan dan Trauma,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya memuji sikap prihatin dan tanggungjawab lelaki berkenaan.
“Ya, abang tu memang seorang yang bagus dan baik. Siap tolong aku parkir motosikal lagi sebab tak lepas-lepas parkir. Terima kasih, bang,” komen @stillinprogress14
“Dia seorang yang bertanggungjawab. Mungkin bukan kerja dia tetapi untuk keselamatan dan keselesaan orang lain dia buat. Terima kasih abang pengawal keselamatan,” kata Abang Mie.
“Ini yang patut dicontohi, sesuatu perbuatan yang mulia,” komen Affnan Nan. – KOSMO! ONLINE














