PETALING JAYA – Polis masih menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung siasatan terhadap akaun media sosial serta individu yang didakwa membuat ugutan bunuh insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, setakat ini permohonan rasmi telah dikemukakan kepada MCMC bagi mengesan pemilik akaun media sosial dan individu terlibat.
“Permohonan telah dibuat kepada pihak MCMC dan pihak polis masih menunggu laporan daripada agensi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Beliau berkata, hanya satu keterangan daripada pengadu sahaja yang telah dirakamkan setakat ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia mengesahkan menerima sekeping cakera padat yang dipercayai mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara salah seorang suspek dan isterinya sebelum insiden tembakan di Durian Tunggal pada 24 November lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, bahan bukti tersebut diterima pihak polis pada 6 Disember lalu selepas diserahkan oleh ahli keluarga kepada salah seorang suspek yang terlibat. – KOSMO! ONLINE














