PETALING JAYA – Pengalaman seorang wanita yang ditahan hampir 10 jam di imigresen sebelum dinafikan kemasukan ke Korea Selatan tanpa sebarang alasan kukuh menarik perhatian ramai di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @iffahhannani_, dia berkongsi bagaimana dia diarahkan pulang semula ke Malaysia walaupun semua dokumen perjalanan sudah lengkap.
“Kami ditahan dan dinafikan kemasukan oleh Imigresen Korea tanpa sebab yang jelas. Dokumen lengkap. Tiada rekod jenayah. Tiada senarai hitam tetapi masih ditolak,” tulisnya.
Menurutnya, segala dokumen sokongan yang sudah disediakan langsung tidak diperiksa oleh pegawai bertugas.
Lebih tertekan, mereka turut digesa membeli tiket pulang dengan segera selain cuba mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia namun tidak berhasil.
Lebih menyedihkan, lima rakan mereka yang lain daripada kumpulan, jadual perjalanan dan dokumen yang sama tidak menghadapi masalah kerana berada di lorong imigresen serta pegawai yang berbeza.
“Perkara paling menyakitkan? Kami semua datang bersama, daftar masuk bersama dan mendarat bersama. Satu-satunya perbezaannya cuma lorong dan pegawai yang berbeza. Betapa tak konsisten dan tak adilnya situasi itu dirasai,” tulisnya.
Dalam hantaran tersebut, wanita itu turut menjelaskan selain kumpulannya terdapat sepasang suami isteri yang membawa anak berusia lima tahun turut dinafikan hak untuk masuk ke negara berkenaan.
Membalas kepada Iffah, @Naya_dieya yang merupakan ibu kepada kanak-kanak berusia lima tahun itu tampil menjelaskan perkara yang sama bagi mengesahkan cerita berkenaan.
Katanya, dia, suami dan anak juga turut merasai pengalaman yang sama pada waktu dan hari yang sama tanpa sebarang penjelasan yang munasabah.
“Terima kasih @iffahhannani_ sebab muat naik pasal ini mewakili saya dan keluarga. Merujuk kepada hantaran Iffah, ya saya lah suami, isteri dan anak berusia lima tahun yang perlu pulang ke Malaysia selepas diarahkan oleh imigresen Korea Selatan. Situasi, hari dan penerbangan yang sama.
“Bayangkan anak yang teruja nak melancong, dokumen semua sudah lengkap macam Iffah juga. Tapi sudah nasib ikut ‘mood’ pegawai pun susah juga. Tanpa penjelasan dan sikap tak beradab terus dipaksa tandatangan dan pulang,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE














