PETALING JAYA – Seorang lelaki dipercayai penghantar makanan cedera selepas dilanggar sebuah kereta akibat memotong laluan secara berbahaya di Taman Maluri, Kuala Lumpur, semalam.
Difahamkan, lelaki tersebut pada mulanya berada di lorong kanan ketika menunggu lampu isyarat namun secara tiba-tiba menukar laluan ke kiri menyebabkan berlakunya kemalangan.
Menerusi hantaran di Threads, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan lampu isyarat di lorong kiri bertukar hijau sebelum sebuah kereta jenis Honda bergerak dan melanggar penghantar makanan yang datang dari arah kanan itu.
“Penghantar makanan itu sudah elok di lorong kanan, tapi nak juga terburu-buru tukar ke lorong kiri,” katanya.
Video berdurasi 24 saat itu turut memaparkan lampu isyarat pada lorong di sebelah kanan bertukar hijau beberapa saat sebelum penghantar makanan itu masuk ke lorong kiri.
Menjengah ke ruang komen, ramai berang dengan tindakan penghantar makanan berkenaan yang membahayakan pengguna jalan raya.
“Penghantar makanan selalu menunggang motosikal begitu, pemandu kereta pula yang kena lebih berhati-hati. Kadang lampu baru sahaja kuning tapi banyak motosikal terus pecut dari arah lain,” komen @Afd4x55.
“Laluan saya balik rumah ini, memang setiap hari ada penghantar makanan tak penyabar. Tunggu dalam seminit lagi merugikan sangat ke? ,”komen @Shahrul_izln.
“Harap pemilik kereta Honda dapat saman penghantar makanan itu. Menyusahkan dan merosakkan kereta orang sahaja,” komen @Amalsharifiza. –KOSMO! ONLINE
View on Threads














