fbpx
FARHAN (tengah) mengakui kekuatan skuad takraw cukup ampuh untuk memberikan cabaran besar kepada Thailand.

SUKAN SEA: Skuad takraw negara sedia ‘gempur’ Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam menyifatkan misi memburu dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 sebagai tugasan berat, namun bertekad mencipta sejarah menumbangkan kuasa besar, Thailand di gelanggang mereka sendiri.

Farhan menegaskan sasaran yang ditetapkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak memberi tekanan, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat seluruh pasukan untuk menamatkan dominasi Gajah Perang di hadapan penyokong tuan rumah.

“Kami sudah melakukan persiapan rapi dan keyakinan itu sentiasa ada. Sebagai kapten, saya anggap ini satu tugasan berat, tetapi kami sedia menggalas tanggungjawab ini. Insya-Allah, kami akan realisasikan misi dua emas itu.

“Bermain di bumi Thailand buat pemain memasang impian lebih besar. Kami memang mengidamkan emas dengan mengalahkan Thailand. Jika berjaya, ia bukan sekadar kemenangan individu, tetapi sejarah besar buat sepak takraw Malaysia,”
kata Farhan.

Farhan mengakui acara berpasukan merupakan kekuatan Thailand, namun melihat cabaran itu sebagai peluang terbaik untuk merentap ego tuan rumah dan mencipta momentum awal sebelum memberi tumpuan dalam acara regu.

“Jika kita berjaya menang emas dalam acara berpasukan, insya-Allah acara seterusnya pun kita mampu kuasai,” ujarnya.

Dia turut memuji kekuatan dan keseimbangan skuad negara kali ini, selain menyifatkan percaturan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun sebagai kemas dan tepat selepas membimbing pasukan untuk edisi ketiga berturut-turut.

“Regu yang ada bukan sekadar regu satu, dua atau tiga. Pemain simpanan pun kuat. Siapa sahaja diturunkan, saya yakin mereka akan beri aksi terbaik,” tambahnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A acara regu berpasukan dan akan membuka tirai menentang Singapura pada 10 Disember di Stadium Gymnasium Nakhon Pathom sebelum bertemu Filipina keesokan hari dan Myanmar pada Jumaat.

Dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir pada 13 Disember, dengan final dijadual berlangsung pada Ahad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI