TIADA apa yang boleh dizahirkan oleh pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain kecuali perasaan lega selepas menewaskan Laos 4-1 pada aksi pertama Kumpulan B Sukan di Stadium Rajamangala, kelmarin.
Sambil mengakui persiapan kali ini agak tempang ekoran ketiadaan beberapa pemain utama yang tidak mendapat pelepasan daripada kelab, Nafuzi menjelaskan tiga mata diraih kali ini beri keyakinan tambahan untuk berdepan cabaran lebih getir menentang Vietnam, Khamis ini.
Walaupun bolos awal, Nafuzi menjelaskan anak buahnya bijak memberikan reaksi balas positif untuk memastikan tiga mata penting bagi mengintai peluang layak ke separuh akhir.
“Berdasarkan penilaian, dua kejohanan sebelum ini kita buat persiapan baik dan beri harapan tinggi, namun kami tewas dalam perlawanan pertama. Di Sukan SEA kali ini, persiapan kita penuh dengan dugaan dan cabaran.
“Dari segi pelepasan, kita tidak dapat kumpulkan skuad penuh, ada yang datang, ada yang balik dan ada yang kita jumpa di Bangkok tanpa dapat satu sesi latihan (bersama).
“Walaupun kita tempang tanpa pemain utama, mungkin rasa tanggungjawab pemain dan kita tahu kita serba kekurangan membuatkan pasukan lebih kuat, bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.
Bagaimanapun, ada khabar tidak baik menghantui skuad negara apabila dilaporkan dua pemain mengalami kecederaan dan kini status sebenar mereka belum dapat dipastikan menjelang pertemuan dengan Vietnam.
“Masa kita bolos awal, mungkin harapan peminat pun sudah mula lebur. Tapi, kesungguhan dan keyakinan pemain melonjak semula di mana gol penyamaan beri keyakinan untuk kita menambah jaringan hingga memperoleh keputusan yang kita perlukan.
“Untuk perlawanan seterusnya menentang Vietnam, kita belum tahu keadaan dua pemain itu. Kalau makin berkurangan (pemain) sekalipun, apa pun situasi, kita mesti teruskan perjuangan,” katanya.














