fbpx
AKSI beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menewaskan gandingan Thailand, Supak Jomkoh- Peeratchai Sukphun pada perlawanan separuh akhir berpasukan lelaki di Sukan SEA Thailand 2025 di Universiti Thammasat di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Malaysia jumpa Indonesia rebut pingat emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK  – Skuad badminton lelaki negara selangkah untuk menamatkan kemarau panjang emas selama dua dekad dalam acara berpasukan di Sukan SEA apabila mara ke pentas final selepas menumpaskan pasukan Thailand 3-1 di separuh akhir, sebentar tadi.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Gymnasium 4, Universiti Thammasat itu, barisan pemain negara mempamerkan aksi cukup dominan biarpun berdepan tekanan sorakan bingit penyokong tuan rumah sejurus Malaysia ketinggalan 0-1 selepas Leong Jun Hao tumpas 15-21, 15-21 kepada pemain No.1 dunia, Kunlavut Vitidsarn.

Bagaimanapun, gegak gempita penyokong tuan rumah terhenti seketika apabila beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan menumpaskan Supak Jomkoh-Peeratchai Sukphun dengan keputusan straight set 21-18, 21-19 untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Wooi Yik Ketika ditemui selepas perlawanan mengakui percaturan jurulatih menjadi selepas mengandingkan semula dirinya dengan Aaron bagi mencari mata buat skuad kebangsaan.

“Saya akan berikan yang terbaik tidak kira digandingkan dengan siapa pun, apa yang penting kita dapat sumbangkan mata untuk Malaysia,” katanya yang digandingkan dengan Man Wei Chong pada suku akhir, semalam.

Malaysia yang meletakkan sasaran emas pada edisi kali ini berada dihadapan 2-1 apabila perseorangan kedua, Justin Hoh mempamerkan permainan kemas untuk menumpaskan Panitchaphon Teeraratsakul 21-10, 21-17.

Mata kemenangan Malaysia dihasilkan oleh beregu kedua negara Man Wei Chong- Tee Kai Wun yang berjaya menumpaskan Dechapol Puavaranukroh-Pakkapon Teeraratsakul dalam pertarungan tiga set 21-14, 18-21, 21-17.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara berpasukan ialah pada Sukan SEA 2005 di Manila yang mana pada aksi final ketika itu, skuad negara menumpaskan Indonesia 3-2.

Pada aksi final yang akan berlangsung Rabu ini, skuad negara akan berdepan Indonesia selepas mereka menumpaskan Singapura 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir, hari ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN