BANGKOK – Skuad bola sepak negara tewas buat kali kedua di pentas Sukan SEA selepas tunduk 0-3 kepada Myanmar pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium TNSU, Chonburi, sebentar tadi.
Walaupun kembali mempertaruhkan penjaga gol utama, Azurin Mazlan, Myanmar nyata menjadi pasukan yang lebih berkualiti malah Malaysia terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain ekoran layangan kad merah.
Sejak di awal permainan, Myanmar sudah pun menguasai permainan dan berjaya mengatur beberapa gerakan menarik untuk menguji barisan pertahanan negara.
Sebaik memasuki minit ke-26, gawang skuad negara akhirnya bocor hasil penyudah sempurna penyerang pasukan lawan, San Thaw Thaw diikuti gol kedua daripada May Htet Lu, sembilan minit selepas itu.
Walaupun kekal dengan sikap tidak berputus asa, tiada apa yang mampu dilakukan oleh pemain Malayan Tigress sekali gus menutup aksi babak pertama dengan kedudukan 0-2.
Kira-kira 13 minit selepas aksi bersambung, skuad kendalian Joel Cornelli terus dipalit tekanan apabila Nur Adrienna Zamzahiri menerima kad kuning kedua dan diarahkan meninggalkan padang.
Situasi itu memaksa skuad negara lebih tertumpu kepada tugasan bertahan namun Myanmar terus menambah kelebihan dan kali ini giliran Win Theingi Tun mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-65.
Khamis ini, skuad negara akan melengkapkan aksi ketiga menentang Filipina dan harapan kekal untuk mengelak daripada terus menjadi mangsa belasahan memandangkan lawan itu adalah antara jaguh utama di rantau ini selaku pasukan di ranking 39 dunia. – KOSMO! ONLINE














