KUCHING – Kerajaan Sarawak menambah dana kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebanyak RM10 juta tahun hadapan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penambahan itu dibuat sebagai komitmen berterusan kerajaan terhadap pembangunan rumah-rumah ibadat dan pendidikan sekolah mubaligh.
“Sebelum ini Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kepada saya, Sarawak mempunyai dana, bolehkah kita kongsikan sedikit (kepada UNIFOR) untuk tahun 2026?.
“Baiklah, kita (Kerajaan Sarawak) tambah RM10 juta lagi menjadi RM120 juta untuk tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi UNIFOR di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan-timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Pengarah UNIFOR Datu Georgina Apphia Ngau serta ketua-ketua agama lain di Sarawak.
Justeru, Abang Johari percaya UNIFOR mampu menguruskan dana tersebut dengan penuh integriti dan akauntabiliti selaras dengan apa yang dituntut oleh setiap agama.
Pada masa sama, beliau menyeru agar penerima bantuan turut menguruskan dana yang diberikan dengan standard integriti dan akauntabiliti yang tinggi.- KOSMO! ONLINE














