JAKARTA – Seorang remaja di Banjar, wilayah Kalimantan Selatan menerima kecaman orang ramai apabila dirakam berbaring di tengah jalan sehingga menghalang lalu lintas, lapor portal berita Banjarmasin Post.
Kejadian berlaku di Jalan Gubernur Soebarjo semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @beritainformasikal menunjukkan remaja itu baring melintang sambil menyilangkan kakinya di tengah jalan yang sibuk.
Dia bukan sahaja berpakaian serba hitam, malah tidak bergerak meskipun ditegur oleh pengguna jalan raya.
Perbuatan itu mencetuskan kesesakan lalu lintas, dengan beberapa kenderaan terpaksa memperlahankan kelajuan demi mengelakkan kemalangan.
Rakaman itu mencatatkan lebih 53,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Dia bosan hidup lama,” kata seorang netizen.
“Orang gila,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














