PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa marah dengan tindakan warga asing yang cuba menipu untuk meminjam duit di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sementara Tapah, Perak, semalam.
Difahamkan kejadian ini bukan pertama kali berlaku malah telah tular sebelum ini apabila beberapa mangsa tampil mendakwa menjadi mangsa kepada sindiket yang sama.
Modus operandi yang digunakan sindiket dipercayai bangsa Arab ini adalah dengan mendekati orang ramai sambil menunjukkan isteri dan anak kecil di dalam kereta bagi meraih simpati sebelum meminta sejumlah duit.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Aqilla_zeck, wanita tersebut ditegur oleh sepasang suami isteri berbangsa Arab yang mendakwa memerlukan duit tetapi kad bank disekat.
“Di R&R Tapah, ada kereta berhenti sebelah kami ketika isi minyak. Suami isteri orang Arab naik kereta jenis Proton Saga meminta tolong untuk pinjamkan duit sebab mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menyekat kad banknya.
“Kemudian, kami pergi stesen minyak lain dan ada kereta jenis Perodua Bezza berhenti sebelah kami. Orang Arab juga tapi belum sempat nak bercakap, kami dah tanya dia, ‘nak minta duit ke? Tiada duit, pergi dari sini’,” katanya.
Malah katanya, lelaki warga asing itu mendakwa hanya mahu bertanya berapa jauh perjalanan untuk ke Kuala Lumpur selepas terkejut dengan reaksi wanita berkenaan.
Selain itu, seorang wanita turut berkongsi pengalaman sama ketika di R&R Sungai Perak apabila sebuah keluarga banga Arab meminta untuk meminjam duit sebagai saudara Islam.
“Bulan lepas, saya pun kena situasi yang sama tapi lelaki bangsa Arab ini tegur dan sebut Muslim secara tiba-tiba.
“Rupanya nak minta duit dan mintak simpati menggunakan anak dan isteri. Lelaki itu kata dari Dubai, kereta pun mewah tapi duduk sini jadi peminta sedekah pula,” ujarnya.
Sementara itu, pengguna TikTok turut memuat naik rakaman video mendakwa isu sama berlaku dengan pelbagai taktik termasuk berpura-pura memerlukan wang untuk membeli susu anak.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata turut berkongsi pengalaman sama.
“Ayah saya baru sahaja cerita situasi yang sama terjadi padanya. Tapi mereka tahan kereta di Jalan Tambun. Nasib ayah saya jenis tak layan,” komen @Sasya.zee.
“Suami isteri dengan anak kecil banga Arab ke? Kalau ya, saya pun jumpa orang yang sama di Kamunting. Mereka berhenti sebelah kereta saya, minta belikan piza sebab kad bank disekat,” komen @Norasiah_samsudin. –KOSMO! ONLINE














