fbpx
Azman ketika sidang akhbar di lobi Mahkamah Shah Alam selepas membayar jaminan dikenakan kepadanya. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Pertuduhan segera, mahu alih perhatian – MP Padang Serai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mendakwa pertuduhan bersubahat terhadapnya hari ini dilihat sebagai usaha mengalih perhatian daripada beberapa kes besar yang sedang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Menurut beliau, ini termasuk dalam kes rasuah melibatkan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dengan terdapat ada pihak yang terlibat mengarahkan rakaman itu dibuat.

“Saya yakin pertuduhan ini ada unsur-unsur bersifat politik. Sebab saya dimaklumkan seorang lagi tertuduh bahawa kemungkinan kes dia akan didakwa pada bulan Januari atau Februari. Dia pun terkejut dan dituduh bersama saya hari ini.

“Ia bermakna ada pertuduhan segera bagi menutup kes-kes berlaku seminggu dua ini.Jadi saya mahu pesan kepada badan eksekutif supaya jangan campur tangan dalam urusan legislative. Kena ada pemisahan kuasa.

“Kalau benar hendak dakwa, dakwa 13 ADUN Sabah yang mempunyai bukti rakaman. Sudah siasat atau telah didakwa,” katanya pada sidang akhbar di lobi Mahkamah Shah Alam hari ini.

Terdahulu, beliau dilepaskan selepas membayar jaminan RM75,000 selepas hampir empat jam dituduh di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan bersubahat berhubung kes rasuah tawaran kontrak projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu di Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Azman turut mendakwa pertuduhan dikenakan kepadanya susulan teguran dilontarkan kepada kerajaan berhubung surat sokongan di Dewan Parlimen sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa pasukan pembelaan akan melakukan yang terbaik termasuk dalam memfailkan permohonan pembatalan pertuduhan di Mahkamah Tinggi nanti.

“Saya cuma dituduh bersubahat dan mengarahkan.Itu juga tuduhan secara umum dan tiada bukti mengaitkan,” jelasnya.

Ketika ditanya sebab pertuduhan dibuat selepas lima tahun kesalahan didakwa dilakukan, Azman meminta soalan itu diajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu kena tanya SPRM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI