SHAH ALAM – Pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berhubung rasuah tawaran projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah disifatkan sebagai tidak berasas dan tersusun.
Peguam N. Surendran mewakili Azman berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan pembatalan pertuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi sebelum tarikh sebutan semula pada 17 Januari depan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen.
Katanya, berdasarkan penelitian beliau terhadap kertas pertuduhan tersebut sememangnya tiada fakta yang menunjukkan apa-apa kelakuan yang salah atau terima rasuah dan sebagainya dilakukan anak guamnya itu.
“Ia adalah tidak sah dan teratur dari segi undang-undang kerana kita dapati tiada asas untuk bawa pertuduhan ini kerana daripada perincian pertuduhan ini bahawa tiada sesuatu kesalahan dilakukan Azman. kononnya bersubahat keluarkan surat tawaran itu.
“Saya pun terkejut melihat pertuduhan ini bahawa ia dibawa. Namun mereka (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ada kuasa tetapi kita akan lawan kes ini sehabis-habisan. Ini adalah salah guna proses mahkamah (bagi pertuduhan terhadap Azman),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Mahkamah Shah Alam hari ini.
Beliau turut menegaskan permohonan juga akan dibuat bagi mencabar perintah penyerahan pasport anak guamnya seperti ditetapkan pada prosiding di Mahkamah Sesyen itu.
Terdahulu, Azman mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Mohd. Nasir Nordin atas pertuduhan bersubahat dengan seorang ahli perniagaan bagi menerima rasuah wang tunai berjumlah RM400,000 untuk dirinya daripada seorang lelaki.
Kesalahan itu dilakukan dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Holding Berhad (KAHB)
untuk mengeluarkan surat tawaran kepada lelaki itu bagi projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu di Kedah. – KOSMO! ONLINE














