fbpx
Erra Fazira mendedahkan pertama kali dalam sejarah hidupnya 'bergayut' di telefon sehingga enam jam.

‘Pertama kali dalam hidup, saya bergayut 6 jam dengan dia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Melalui pengalaman berbeza ketika mula berkawan dengan bakal suami, Ezwan Zain atau Mr. E, pelakon dan penyanyi Erra Fazira mendedahkan pertama kali dalam sejarah hidupnya ‘bergayut’ di telefon sehingga enam jam.

Erra atau atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 51, berkata, dia merupakan individu yang lebih suka berkomunikasi menerusi mesej, namun ahli perniagaan itu dapat membuatkannya berborak lama.

“Saya bukan kaki borak dalam telefon. Apa-apa mesej saja. Dia (Ezwan) nak ‘call’ pula. Tahu tak berapa lama? Pertama kali dalam hidup saya yang dah masuk 50 tahun masa tu saya bercakap dalam telefon enam jam.

“Saya macam kata (dalam hati) ‘dia ni bila nak letak telefon’. Tapi saya juga jenis wanita sopan, layankan. Sampaikan saya boleh letak tepi telefon dan buat kerja lain.

“Awak (Ezwan) memang kuat berborak, ibarat YB (Yang Berhormat). Pertama kali saya bergayut lama macam itu. Dialah yang banyak kongsi cerita,” katanya menerusi sesi bual bicara di audio siar miliknya dan Ezwan Kasi Onz.

Sementara itu, Ezwan yang berseloroh menyatakan enam jam tidak terasa turut mendedahkan Erra tidak mempunyai aplikasi WhatsApp menyukarkannya untuk berkomunikasi dengan panjang lebar.

“Saya kalau nak berkomunikasi dengan Erra cukup susah. Erra tiada WhatsApp. Kalian pernah terfikir tak macam mana saya nak berhubung dengan Erra Fazira yang tiada WhatsApp.

“Orang pakai WeChat nak pergi China saja, (tapi) Erra pakai di Malaysia secara meluas. Saya ingat dia tipu atau guna dua telefon. Jadi awal-awal itu kami DM (mesej langsung) di Instagram.

“Selepas itu barulah dia berikan nombor telefon. Rasanya tiga bulan kemudian saya ‘call’ selepas hanya bermesej. Tapi saya tanya dulu, okey ke nak cakap,” ujarnya yang mengakui menggunakan telefon untuk berhubung disebabkan Erra selesa duduk di rumah.

Menurut pelakon filem Sembilu itu pula, dia pernah menggunakan WhatAapp tetapi selepas menerima mesej daripada nombor tidak dikenali dia bertukar kepada WeChat.

“Memang saya selesa dengan WeChat. Saya ini kan ‘rare’. Saya OCD (gangguan obsesif-kompulsif) yang buatkan saya semak tengok nombor bila beratus, kadangkala beribu mesej masuk.

“Lagipun saya introvert, saya caj tenaga di rumah. Jadi kami banyak berhubung di telefon.Beza dengan Ezwan yang aktif, suka lakukan pelbagai aktiviti di luar,” katanya.

Selain berkongsi perkenalan mereka di konti radio Sinar FM pada 2022 selepas bertemu buat kali pertama beberapa tahun sebelum itu, Erra turut mengakui selesa dengan sikap lelaki terbabit.

Katanya, kesungguhan Ezwan mendekatinya dengan cara tersendiri melorongkan persahabatan mereka ke fasa seterusnya tanpa rasa canggung

Ketika ini pasangan terbabit sedang menunggu tarikh disatukan sebagai suami isteri 12 Disember ini yang diumumkan Erra pada majlis pelancaran muzik videonya, Cinta Abadi.

Pada majlis tersebut, Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu tidak mampu menahan sebak sehingga menitiskan air mata.

Hubungan mereka mula diperkatakan ramai sekitar akhir tahun lalu apabila perkongsian di laman sosial wanita yang hidup solo sejak 11 tahun lalu didakwa berbaur romantis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI