fbpx
Seorang pelajar lelaki tingkatan dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau semalam. -Foto IHSAN POLIS

Remaja maut ditembak rakan ketika main sembunyi-sembunyi‎

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‎KENINGAU – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH semalam.

‎Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun dikatakan bermain bersama seorang rakannya sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter.

‎Mangsa yang rebah dengan 14 kesan tembakan pada badan dihantar ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan Hospital Keningau.

‎Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah sebelum meminta senjata berkenaan untuk bergurau.

‎“Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.

‎“Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya.

‎Beliau berkata, pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa.

‎Menurutnya, siasatan mendapati senjata tersebut disorokkan oleh seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, yang merupakan adik kepada suspek, sementara pemilik bakakuk berkenaan adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.

‎“Ketiga-tiga beranak itu ditahan untuk siasatan lanjut. Siasatan turut mendapati mangsa merupakan rakan rapat suspek dan sering bermalam di rumah keluarga berkenaan.

‎“Bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN