PETALING JAYA – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi meluahkan rasa tidak puas hati apabila pensyarahnya memaksa pelajar untuk membeli buku yang dijualnya.
Menurut pengguna Threads, perkara itu sudah berlaku sejak semester dua dengan setiap buku dijual mencecah lebih RM60.
“Aku antara yang tidak mahu membeli buku itu kerana konteks bahan yang sama dengan belajar di dalam kelas dan kekurangan duit.
“Namun, pensyarah itu mempersoalkan sekiranya aku pakai telefon atau tidak dan kata tak perlu beli internet, beli buku sahaja.
“Pensyarah itu siap mempertikaikan jenis telefon yang saya pakai walaupun telefon itu sebenarnya telefon terpakai,” katanya.
Lebih mengecewakan, alasan pelajar itu diabaikan sebelum dipaksa menyediakan duit untuk pembelian buku selewat-lewatnya pada minggu seterusnya.
“Walaupun pensyarah lain yang mengajar semester kali ini, tapi pensyarah itu suruh pensyarah kami paksa kami untuk membeli buku itu,” ujarnya.
Menjengah ke ruang komen, ramai berkongsi pengalaman sama apabila terpaksa membeli buku yang dijual oleh pensyarah dengan kekangan kewangan.
“Ketika saya menjadi pensyarah, pelajar fotostat buku saya sahaja. Nak suruh beli baru, ramai yang tak mampu. Janji ilmu sampai,” komen @Fazzy_rizqi.
“Pensyarah yang suka paksa pelajar beli dengan alasan ilmu lebih berkat dan mudah skor gred A pun menyakitkan hati. Akhirnya aku beli fotostat sahaja, masih dapat skor gred A juga,” komen @Hanessd. –KOSMO! ONLINE














