PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali meluahkan rasa kurang senang terhadap segelintir pengguna lif di pusat beli-belah yang sepertinya tidak bertimbang rasa terutama apabila berdepan situasi bersama anak kecil.
Menurut Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 33, pengalaman membawa anak tunggalnya keluar membuka matanya terhadap cabaran yang dihadapi ibu bapa lain.
“Saya jarang sekali bawa Muhammad keluar ke pusat beli-belah, baru-baru ini saja kerap. Sekarang baru saya faham bila ibu bapa yang bawa anak kecil dengan kereta sorong bayi marah sebab lif penuh. Lagi pula penuh dengan pasangan nak bermanja-manja dalam lif atau anak muda yang sihat tubuh badannya,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Malah, pelantun lagu Peluang Kedua itu turut menegur sikap sesetengah pengunjung yang tidak memberi ruang kepada pengguna lif untuk keluar terlebih dahulu.
“Kalau kalian nak masuk lif, bagilah yang kat dalam lif itu keluar dulu.
“Kalau dah semua masuk, yang dalam tak boleh keluar dan sempitlah. Ye tak?” katanya lagi.
Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE














