fbpx
Azman Nasrudin.

MP Padang Serai, ahli perniagaan nafi subahat, rasuah ladang lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Ahli Parlimen (MP) Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan subahat dan rasuah projek usaha sama penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah.

Azman, 53, dan Amar Assuat Abu Bakar, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Amar Assuat didakwa dua pertuduhan menerima suapan wang tunai RM800,000 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun masing-masing di sebuah restoran dan tepi jalan berhadapan pejabat sebuah syarikat di Bandar Baru Bangi antara 20 dan 23 Jun 2020.

Ini sebagai dorongan bagi membantu
individu tersebut mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu di Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Azman pula didakwa satu pertuduhan bersubahat dengan Amar Assuat bagi menerima suapan wang tunai RM400,000 bagi dirinya daripada lelaki sama sebagai upah membantu individu berkenaan mendapatkan projek berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KHAB untuk mengeluarkan surat tawaran kepada lelaki itu bagi projek tersebut.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan berhadapan sebuah pejabat sebuah syarikat di Bandar Baru Bangi pada pukul 5 petang, 23 Jun lalu.

Sehubungan itu, bapa kepada lima anak itu dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10, 000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM200,000 kepada Amar Assuat manakala RM100,000 untuk Azman selain menyerahkan pasport dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran.

Peguam N. Surendran mewakili Azman manakala Amar Assuat diwakili
Peguam R. Yoganathan memohon jaminan dikurangkan ekoran ikat jamin tersebut bersifat melampau dan menghukum.

Malah Surendran menyatakan serahan pasport adalah tidak wajar ekoran Azman tiada risiko melarikan diri.

“Ini kerana dia merupakan Ahli Parlimen dan kehilangan kerusi sekiranya enam bulan tidak menghadiri mesyuarat. Kami juga akan memfailkan permohonan pembatalan pertuduhan di Mahkamah Tinggi,” jelasnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-duanya diberikan jaminan RM75,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Amar Assuat turut diperintahkan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat. Sebutan semula kes ditetapkan 13 dan 17 Januari depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN