KUALA LUMPUR – Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-20 (MIBS 2025) yang telah berlangsung baru-baru ini menjadi platform penting untuk membantu usahawan Malaysia menembusi pasaran global terutamanya China.
Langkah berkenaan perlu kerana China kini muncul sebagai pusat pengeluaran terbesar dunia, sekali gus menjadikan MIBS 2025 ruang strategik untuk memasarkan produk tempatan ke pasaran global.
Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata, China berfungsi sebagai ‘kilang dunia’ dan pintu masuk utama bagi produk Malaysia untuk berkembang ke luar negara.
Beliau menyifatkan penganjuran MIBS 2025 oleh Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS) sebagai langkah proaktif mengangkat daya saing produk tempatan.

“Lihat Canton Fair yang mana terdapat lebih 25,000 ruang pameran dari seluruh dunia. MIBS membantu memastikan produk Malaysia bukan saja layak dipasarkan, tetapi tampil dengan penjenamaan dan pembungkusan bertaraf dunia,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian MIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Abu Hasan menerangkan, masih banyak industri kecil dan sederhana (IKS) belum mampu memenuhi permintaan eksport yang besar disebabkan teknologi yang terhad.
“Ada produk yang diperlukan daripada pelabur dari berkenaan sehingga 20 kontena sebulan, tetapi mesin kita belum mampu menampung permintaan sebesar itu.
“Sebab itu kita bawa teknologi China ke sini supaya usahawan boleh lihat sendiri tahap automasi dan kemampuan mesin baharu,” ujarnya.
Beliau menegaskan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik dan motor elektrik adalah kunci peningkatan produktiviti.
MIBS 2025 menghimpunkan teknologi terkini dari China, Korea dan Jepun, sekali gus membolehkan usahawan Malaysia mendapatkan akses terus kepada inovasi antarabangsa tanpa perlu ke luar negara.

Selain itu, Pengerusi PROMAS, Datuk Chong Chong Tik, berkata MIBS 2025 menyasarkan 10,000 pengunjung perniagaan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform perdagangan paling berpengaruh di rantau ini.
“Ini peluang besar bagi usahawan tempatan mendapatkan akses terus kepada pembeli luar negara.
“Fokus kami adalah untuk mempromosikan produk tempatan seperti kopi putih, fabrik dan produk harian untuk memasuki pasaran global,” katanya.
Menurutnya, MIBS 2025 bukan sahaja pameran produk, tetapi pusat pembelajaran untuk memahami tren penjenamaan dunia.
“Ia menekankan teknologi moden seperti automasi, AI dan inovasi pengeluaran pintar yang boleh membantu PKS meningkatkan kapasiti pengeluaran,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














