KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menetapkan pelan tindakan serta strategi pelaksanaan bagi tahun 2026 sebaik sahaja Bajet 2026 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya telah mengadakan sesi pemukiman bagi menyusun perancangan pelaksanaan bersama semua jabatan dan agensi di bawah KKR.
Menurut beliau, pihaknya juga telah memohon tarikh untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi membentangkan perincian perancangan tersebut.
“Kami ingin berkongsi secara langsung dengan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) mengenai apa yang telah disediakan, termasuk bagaimana KKR dan agensi-agensi akan melaksanakan peruntukan bajet serta game plan lengkap untuk tahun 2026.
“Beliau telah bersetuju dan akan memberikan tarikh,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














