fbpx
Gambar hiasan

Kes buli: 43 sekolah menengah di Melaka pakai pengesan logam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Lebih separuh daripada jumlah keseluruhan sekolah menengah di Melaka kini menggunakan alat pengesan logam sebagai langkah keselamatan bagi memastikan pelajar tidak membawa telefon pintar atau objek berbahaya ke sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebanyak 43 buah sekolah menengah telah melaksanakan penggunaan alat pengesan logam ketika pelajar memasuki premis sekolah.

“Terdapat sebanyak 80 sekolah menengah di Melaka dan 43 daripadanya sudah membeli alat pengesan logam yang digunakan sebagai pengimbas ketika pelajar masuk ke sekolah.

“Ia bagi mengesan sekiranya terdapat pelajar yang membawa telefon pintar, manakala baki 37 buah sekolah saya akan syorkan untuk membeli (alat pengesan logam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang ke-15 di Seri Negeri, hari ini.

Khaidhirah mengajukan soalan mengenai tahap keselamatan pelajar, khususnya berkaitan isu buli dan sebarang perancangan kerajaan negeri untuk pendigitalan atau integrasi langkah-langkah bagi memastikan keselamatan anak-anak, sama ada ketika berada di dalam mahupun di luar sekolah.

Ujar Rahmad, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka sentiasa komited dalam memastikan keselamatan murid, warga sekolah, serta pelaksanaan pendekatan-pendekatan pencegahan dan pemantauan.

“Namun begitu, kami tetap memerlukan bantuan maklumat daripada orang ramai kerana ada segelintir kejadian berlaku di luar pengetahuan pihak kami.

“Begitu juga kes membawa telefon bimbit ke sekolah. Walaupun dilarang, masih ada pelajar yang membawanya, terutamanya pelajar sekolah menengah dan kami menyedari pengaruh besar alat telekomunikasi dalam kes buli dan salah laku seksual. Justeru, itu kita menggunakan pengesan logam untuk mengawal perkara ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN