KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang mewujudkan dana amanah atau skim kewangan mikro khusus untuk golongan belia Orang Asli.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata,buat masa ini kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan ekonomi masyarakat itu melalui program baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Setakat ini JAKOA tidak bercadang menubuhkan dana amanah khusus untuk belia Orang Asli.
“Namun kerajaan sudah menyediakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat terus kepada golongan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Senator Manolan Mohamad di Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Rubiah berkata antara inisiatif utama ialah Program Memperkasa Perniagaan Orang Asli (Perkasa) yang menawarkan bantuan peralatan dan premis tanpa faedah serta tidak perlu dibayar balik.
“Melalui Perkasa, kerajaan menyediakan geran sehingga RM10,000 bagi Program Usahawan Muda, manakala sehingga RM35,000 untuk Program Pengembangan Usahawan dan Usahawan Wanita,” katanya.
Selain itu, koperasi Orang Asli turut layak memohon geran sehingga RM300,000 bagi projek ekonomi.
Dalam aspek pendidikan, Rubiah berkata JAKOA meneruskan bantuan di bawah Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP) merangkumi pelajar sekolah rendah hingga Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Pelajar sekolah menerima bantuan seperti pengangkutan, pakaian seragam, yuran dan wang saku RM4 sehari. Bagi penuntut IPT pula, kerajaan menanggung yuran pengajian, elaun sara hidup serta insentif pendaftaran antara RM500 hingga RM1,000,” katanya.
Menurut beliau, komitmen itu membuktikan usaha berterusan kerajaan memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada arus pembangunan negara, khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.- KOSMO! ONLINE.














