KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi komitmen untuk mempercepatkan penyelesaian isu kemudahan asas dan prasarana di Sabah, susulan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memahami sepenuhnya kekecewaan rakyat negeri itu kerana masalah asas seperti bekalan air, elektrik dan keadaan jalan raya masih belum ditangani secara tuntas meskipun kerajaan silih berganti.
“Saya sebagai manusia faham (mengapa mereka) marah, dia kata menteri, kerajaan (dan) Perdana Menteri silih berganti tetapi air (masih) belum berganti, elektrik belum dipasang (dan) jalan lubang-lubang.
“Jadi dia resah (dan) belum cukup yakin, saya tidak salahkan mereka walaupun kita (kerajaan) telah luluskan jumlah kewangan paling besar dalam sejarah (iaitu sehingga) RM17 bilion, untuk air (sahaja) dekat RM1 bilion (dan) untuk elektrik (pula) RM1.2 bilion tetapi belum siap,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan mengadakan mesyuarat bulanan bagi menyemak status projek kritikal di Sabah, khususnya yang berkait dengan air, elektrik dan jalan raya.
“Sebagai menteri, Alexander (Nanta Linggi) akan perhatikan projek-projek (di bawah KKR) dan kementerian lain akan (buat perkara sama) untuk semua projek (di bawah kementerian masing-masing).
“JPM (Jabatan Perdana Menteri) akan pastikan mesyuarat bulanan (dilakukan), supaya hal yang paling penting bagi rakyat iaitu jalan, elektrik dan air itu kita cuba selesaikan dalam segera mungkin,” jelasnya.
Anwar turut menegaskan bahawa KKR perlu memperkemas pemantauan dan rekod prestasi projek, sambil mengingatkan agar tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang culas.
“Kalau ada, jangan tunggu sehingga selesai. Kita kena ambil sikap lebih keras terhadap kontraktor (yang) sambil lewa dan lambat, untuk pastikan projek itu dilaksanakan mengikut jadual. Pantau dengan teliti, terus ambil tindakan.
“Kemudian yang diuruskan oleh kerajaan negeri sama ada Sabah, Sarawak, Perlis ataupun Kelantan , supaya projek itu dijalankan mengikut jadual, kadang-kadang saudara lebih mengerti apa yang lebih diperlukan di bawah daripada perancangan di atas,” ujarnya.
Anwar yakin KKR mampu memainkan peranan sebagai tonggak pembangunan negara sekiranya bekerja dengan tekad dan kesungguhan. – KOSMO! ONLINE














