PETALING JAYA – Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara menamatkan liga sepusingan dengan penuh bergaya apabila membelasah Thailand 9-1 pada aksi ketiga Sukan SEA Thailand 2025 sekali gus mengesahkan status sebagai pasukan paling produktif kejohanan.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menutup peringkat awal dengan tiga kemenangan berturut-turut serta meledak keseluruhan 31 gol iaitu rekod tertinggi kategori lelaki setakat ini.
Malaysia bermula garang apabila Kamarulzaman Kamaruddin membuka tirai jaringan seawal minit kedua sebelum Thailand menyamakan kedudukan menerusi Worawut Kaeochianghwang seminit kemudian.
Jentera serangan negara terus mengganas melalui Akhimullah Anuar Esook, Muhibuddin Moharam, Syarman Mat Tee, Abid Sufian Mat Ruslee dan Shafiq Ikhmal Suzaini yang memastikan kemenangan besar 9-1 menjadi milik Malaysia.
Ketua jurulatih, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman menyifatkan kemenangan itu hadir tepat pada waktunya selepas pasukan bergelut mencari sentuhan jaringan ketika aksi pembukaan menentang Indonesia.
“Ini kemenangan yang memang kami nantikan kerana pemain akhirnya menunjukkan ketajaman di depan gol. Pada perlawanan pertama menentang Indonesia mereka agak sukar menjaringkan gol, tetapi hari ini momentum itu terbukti menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan prestasi dipamerkan menentang Thailand merupakan tanda jelas pemain berada pada tahap terbaik menjelang aksi separuh akhir yang sudah menanti.
“Sebenarnya mereka bermain pada prestasi terbaik sebelum separuh akhir dan itu yang saya harapkan supaya pasukan sampai ke kemuncak tepat pada masanya,” ujarnya.
Malaysia yang menamatkan round robin di tangga teratas akan berdepan Filipina pada aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung Rabu ini pada jam 11 pagi waktu Malaysia.
Wan Roslan percaya laluan ke pentas final lebih terbuka jika momentum sama berjaya dikekalkan, selain mengingatkan pemain agar tidak memandang rendah keupayaan Filipina yang juga menunjukkan peningkatan sepanjang kejohanan. – KOSMO! ONLINE














